Saturday, February 03, 2007

Persiapan Awal : Pelancaran Kelab Motosikal Putera Raub



13 : 01 : 07 - Meskipun penamaan calon pilihanraya kecil Batu Talam ditetapkan pada 16 Januari dan hari pembuangan undi pada 28 Januari, Putera UMNO seawal 13 Januari sudah mula berkampong di Batu Talam.

Pada 13 Januari 2007 majlis pelancaran Kelab Motosikal Putera UMNO Raub di adakan di Felda Tersang. Pelancaran Kelab Motosikal ini bukan semata-mata untuk pilihanraya kecil Batu Talam malah sudah sedia menjadi agenda Putera UMNO untuk melancarkan Kelab Motosikal di setiap bahagian Pemuda seluruh negara.

Secara kebetulan bila berlaku pilihanraya kecil Batu Talam, Pemuda Bahagian Raub menjadi pilihan awal penubuhan Kelab Motosikal Putera UMNO.

Menurut Pengerusi Putera UMNO, Dato Abdul Azee Abdul Rahim, penubuhan Kelab Motosikal Putera UMNO ini menjadi penting kerana motosikal sudah sinonim dengan ahli-ahli Putera.

Katanya, melalui penubuhan kelab ini Putera UMNO akan berusaha mendidik dan mengasuh ahli-ahli Putera untuk menjadi seorang penunggang motosikal yang berhemah dan beretika.

“Melalui cara ini juga kita akan berjaya mengurangkan gejala mat rempit yang kerap dikaitkan dengan remaja kita” katanya ketika ditemui di majlis tersebut

Menurutnya lagi, bagi tujuan pilihanraya kelab motosikal ini akan berperanan untuk mengangkut pengundi dan bertindak sebagai agen penyebar maklumat kepada pengundi terutama di kawasan pedalaman.

Friday, February 02, 2007

Anugerah Pelajar Cemerlang bersama Yayasan Pahang



14 : 01 : 07 - Putera UMNO agak sinonim dengan basikal dan pelajar cemerlang. Bukan sahaja semasa di Batu Talam malah sebelum ini pun antara Dato Azeez Rahim dan Putera UMNO memberi hadiah basikal kepada pelajar cemerlang sudah menjadi ‘kerja” Dato Azeez sejak di Baling lagi. Jadi tidak hairan lah semasa kempen pilihanraya kecil Batu Talam Putera UMNO bersama Yayasan Pahang menghadiahkan basikal kepada pelajar cemerlang UPSR dan PMR sekitar bahagian Raub.

Menurut Dato Azeez, menghadiahkan basikal kepada pelajar cemerlang mempunyai pengertian yang yang tersendiri. Bagi pelajar di bandar, mungkin sebuah basikal tidak akan membawa apa-apa erti bagi mereka tetapi tidak bagi pelajar luar bandar. Bagi pelajar luar bandar, sebuah basikal adalah sebuah perjuangan bagi mereka.

Katanya, basikal bagi seorang pelajar luar bandar yang kurang kemudahan pengangkutan awam atau bagi keluarga kurang mampu, ianya satu keperluan yang dinanti-nantikan. Apatah lagi bagi sebuah keluarga yang mempunyai anak yang ramai.

“Putera UMNO memilih untuk memberi sesuatu insentif yang boleh dimanfaatkan untuk kemudahan pelajar disamping membantu mengurangkan beban keluarga dalam menyara persekolahan anak-anak mereka” katanya

Di majlis tersebut Menteri Besar Pahang, Dato Seri Adnan Yaakob turut hadir menyampaikan bantuan basikal kepada pelajar-pelajar yang terpilih

Batu Talam perlu di 'Hias Cantik'



15 : 01 : 07 – Setakat hendak memanjat tiang lampu, memacak bendera di puncak pokok, merentang bunting dan banner dan menyertai konvoi bermotosikal sambil mengibar bendera parti bukanlah kerja sukar bagi Putera UMNO. Disamping membuktikan bahawa Putera UMNO bukan semata-mata apa yang digelar mat rempit di jalanan.

Bagi pilihanraya kecil, Batu Talam bukan medan baru bagi Putera UMNO menjadi jentera ‘menghias’ kawasan pilihanraya dengan bendera lambing dacing dan keris bersilang. Terdahulu di Pengkalan Pasir, Kelantan Putera UMNO sanggup bersengkang mata semata-mata untuk turut menyumbang kepada kemenangan parti.

Bermula seawal 15 Januari, Putera UMNO sudah menggerakan jenteranya untuk memasang bendera dan banner parti sekitar Batu Talam.

Thursday, February 01, 2007

Penamaan Calon dan Skim Peluang Kedua Putera Raub



16 : 01 : 07 – Meskipun hari ini adalah Hari Penamaan Calon bagi pilihanraya kecil Batu Talam, Putera UMNO tidak hanya ‘turut meramaikan majlis’ sebaliknya Putera UMNO terus mengorak langkah demi memikul amanah dari perjuangan bangsa.

Selesai sahaja penamaan calon Putera UMNO terus bergegas ke Kampong Malim bagi satu lagi majlis Putera UMNO.

Putera UMNO melaksanakan sesuatu program berdasarkan perancangan yang rapi dan tidak semata-mata untuk sesuatu pilihanraya kecil. Ini terbukti sekali lagi melalui program Peluang Ke Dua (Pk2) Putera UMNO. Melalui skim ini Putera UMNO mengikat janji dengan beberapa Institut Kemahiran bagi menyedia tempat kepada remaja yang tercicir untuk melanjutkan pelajar keperingkat kolej dan universiti.

Melalui Skim Pk2 ini, ahli-ahli Putera UMNO akan di beri tempat untuk mengikuti kursus kemahiran yang bersesuaian dengan minat dan cita-cita mereka. Menjadi matlamat Putera UMNO menjelang tahun 2008, seramai 5,000 ahli Putera UMNO akan keluar sebagai seorang putera yang mempunyai kemahiran untuk meneruskan hidup.

Bagi membuka peluang kepada ahli-ahli Putera di kawasan Raub, bertempat di Bilik Gerakan Belia Kg Malim, Raub Naib Ketua Pemuda UMNO Saudara Khairy Jamaluddin telah melancarkan pendaftaran skim peluang kedua ini khusus bagi kemasukan ke TEKAT dan KOLEJ IKIP di Pahang.