Saturday, February 03, 2007

Persiapan Awal : Pelancaran Kelab Motosikal Putera Raub



13 : 01 : 07 - Meskipun penamaan calon pilihanraya kecil Batu Talam ditetapkan pada 16 Januari dan hari pembuangan undi pada 28 Januari, Putera UMNO seawal 13 Januari sudah mula berkampong di Batu Talam.

Pada 13 Januari 2007 majlis pelancaran Kelab Motosikal Putera UMNO Raub di adakan di Felda Tersang. Pelancaran Kelab Motosikal ini bukan semata-mata untuk pilihanraya kecil Batu Talam malah sudah sedia menjadi agenda Putera UMNO untuk melancarkan Kelab Motosikal di setiap bahagian Pemuda seluruh negara.

Secara kebetulan bila berlaku pilihanraya kecil Batu Talam, Pemuda Bahagian Raub menjadi pilihan awal penubuhan Kelab Motosikal Putera UMNO.

Menurut Pengerusi Putera UMNO, Dato Abdul Azee Abdul Rahim, penubuhan Kelab Motosikal Putera UMNO ini menjadi penting kerana motosikal sudah sinonim dengan ahli-ahli Putera.

Katanya, melalui penubuhan kelab ini Putera UMNO akan berusaha mendidik dan mengasuh ahli-ahli Putera untuk menjadi seorang penunggang motosikal yang berhemah dan beretika.

“Melalui cara ini juga kita akan berjaya mengurangkan gejala mat rempit yang kerap dikaitkan dengan remaja kita” katanya ketika ditemui di majlis tersebut

Menurutnya lagi, bagi tujuan pilihanraya kelab motosikal ini akan berperanan untuk mengangkut pengundi dan bertindak sebagai agen penyebar maklumat kepada pengundi terutama di kawasan pedalaman.